Mobile Environment
Jasa orang terdahulu harus dihargai
Utusan Malaysia | 13 Aug 2013
Mustapha berharap individu seni generasi kini mengenang dan menghargai sumbangan generasi terdahulu.

JIKA tiada yang lama, masakan ada yang baru. Begitulah lumrah kehidupan ini apabila mereka yang terdahulu akan pergi meninggalkan kita dan perkara yang sama juga dilalui oleh setiap insan bergelar anak seni.

Sejak kebelakangan ini, ramai daripada seniman dan seniwati tanah air telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya dan hanya meninggalkan karya-karya mereka sama ada dalam bidang lakonan mahupun nyanyian.

Pastinya, individu yang membesar dan mencipta nama seiring dengan mereka juga merasai pemergian setiap seorang daripada rakan-rakan yang pernah berjuang sebaris dengan mereka bagi meningkatkan mutu dan imej industri seni tempatan.

Jelas seniman legenda yang kini berusia 78 tahun, Datuk Mustapha Azhari Maarof, setiap kali seorang daripada rakan seangkatan dengannya pergi menghadap Ilahi, dia turut merasakan seperti sebahagian daripada dirinya turut pergi selamanya.

"Sejak kebelakangan ini, seorang demi seorang seniman dan seniwati pergi meninggalkan kita. Setiap kali itu jugalah kenangan dan memori manis yang saya miliki bersama mereka hilang begitu sahaja.

"Sungguh, setiap insan dalam dunia seni ini mempunyai waktu yang tersendiri dan setelah tempoh populariti mereka itu berlalu, mereka haruslah bersedia untuk mengalami zaman kejatuhan selepas itu," katanya yang telah mempersiapkan diri dengan syarikat produksi miliknya sendiri.

Antara seniman dan seniwati yang telah pergi buat selama baru-baru ini termasuklah Omar Suwita pada 11 Februari 2013, Kuswadinata (16 Februari), S. Shamsuddin (4 Jun), Latifah Omar (9 Jun) dan terkini, Datin Umi Kathum (24 Julai).

Tambah Mustapha lagi, dia berharap insan-insan seni generasi kini menghargai apa yang telah dibina oleh generasi terdahulu kerana tidak dapat dinafikan, apa yang mereka miliki dan nikmati kini adalah atas asas yang didirikan oleh orang terdahulu.

"Benar kejayaan dan populariti yang diraih individu bergelar anak seni bergantung pada usaha yang dilakukan mereka, tetapi jangan dinafikan asas dan pelbagai kemudahan dalam industri yang telah diperjuangkan oleh orang-orang lama.

"Kini, insan seni yang pernah memeriahkan industri hiburan tempatan suatu ketika dahulu sudah tidak ramai selain saya, antaranya Datuk Aziz Sattar, Datuk Maria Menado, Mariani, Datin Rosnani Jamil dan juga Tan Sri Dr. Jins Shamsuddin," katanya.

Persiapan

Walaupun pada luarannya bidang seni itu menjanjikan seribu satu kehidupan yang gemerlapan, tetapi hakikatnya ia tidak banyak berbeza berbanding pekerjaan masyarakat umum.

Oleh itu, adalah penting untuk seseorang artis itu mempersiapkan diri mereka daripada pelbagai sudut khususnya aspek kewangan dan kestabilan ekonomi kerana dunia lakonan tidak akan kekal lama.

"Saya menasihatkan pejuang-pejuang seni yang masih aktif kini untuk mempersiapkan diri mereka untuk menghadapi masa-masa akan datang yang lebih mencabar.

"Pastinya populariti dan pelbagai kemewahan yang diraih kini tidak akan berkekalan dan adalah penting untuk kita mempunyai kerjaya dan punca pendapatan yang stabil sebelum meniti usia tua," katanya yang kini aktif dalam penghasilan drama bersiri dan telemovie.

Bercerita pengalaman peribadinya, Mustapha yang mencapai kemuncak popularitinya sepanjang 1950-an sehingga 1960-an memberitahu, dia sedar akan hakikat bahawa dunia glamor yang disertainya tidak akan kekal lama.

"Saya tahu bidang lakonan ini tidak boleh bertahan sehingga kita tua, jadi kita perlu bijak untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan melakukan apa yang perlu untuk terus bertahan.

"Sewaktu permulaan tahun 1970-an, industri perfileman di Malaysia dan Singapura mengalami zaman kejatuhan dan pada waktu itulah saya membawa ahli keluarga berpindah dari Singapura ke sini," katanya yang merujuk lokasi kediamannya kini iaitu di kota Kuala Lumpur.

Related Profile
Comments